January 26, 2012

HARI INOVASI DAN ROBOTIK


Hari Inovasi dan Robotik telah dianjurkan pada 23 Julai 2011 dengan jayanya, program ini telah mendapat liputan akhbar Kosmo!.
keratan akhbar Kosmo!

bertungkus lumus menyiapkan robot

En Rostam Salleh menyumbangkan tenaga sebagai pembimbing program ini
Model-model yang telah berjaya disiapkan

LAPORAN AKHBAR KOSMO! DI INTERNET

Menjana minda jurutera muda

Oleh LILY YEAN
rencana@kosmo.com.my

PERALATAN elektronik dan alat-alat tulis pada mulanya bertaburan di atas lantai. Beberapa kumpulan pelajar tekun menyiapkan tugasan mereka dalam tempoh masa beberapa jam yang diberikan.
Ada yang tersenyum dan ada pula yang mengerutkan muka. Masing-masing berusaha dan berharap untuk mencapai kemenangan yang diidamkan dalam projek tersebut.
Begitulah keadaan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama, Selangor (SMKKU) yang dipenuhi seramai 189 orang pelajar hujung Julai lalu.
Semuanya berusaha menunjukkan bakat dalam reka cipta robotik sempena Hari Inovasi dan Rekacipta Asas Robotik untuk menarik perhatian guru-guru dan para juri yang bakal menilai hasil mereka.
Walaupun ada dalam kalangan mereka yang terbantut dalam proses penyiapan projek itu, namun keriangan dapat dilihat di raut wajah mereka.
Menurut wakil kumpulan pemenang pertama tahun lalu, Sheikh Amir Usman Seikh Salim, 16, dia sanggup mengetepikan masa senggang untuk bersama keluarga demi menyertai pertandingan tersebut.
“Saya memang minat dalam bidang mekatronik dan robotik. Ibu bapa saya memberi kebebasan dan sokongan penuh dalam bidang yang saya minati selama ini.
“Oleh sebab itu, saya perlu mencuba sedaya-upaya untuk mencapai keputusan yang terbaik untuk membuktikan minat saya ini,” katanya dengan semangat berkobar-kobar.
Begitu juga dengan wakil kumpulan pemenang kedua tahun lalu, Wan Muhammad Imran Mohammad Kahiri, 15, yang berharap dengan sokongan ibu bapanya, dia mampu melangkah lebih jauh.
Dalam pertandingan tersebut, dia yang meminati permainan kereta Tamiya mendapat idea melalui permainan kesayangannya dan yakin akan menang dalam pertandingan tersebut.
Lain pula cerita Fatimah Bazilah Nazari, 15, yang menyertai pertandingan tersebut untuk kepuasan diri.
Kata wakil kumpulan pemenang ketiga tahun lalu itu, sama ada menang atau kalah, perasaan akan cukup puas setiap kali melihat hasil reka cipta berjaya disiapkan untuk bertanding.
Selain itu, dia turut mengakui banyak ilmu dapat dipelajari dari pertandingan tersebut.
“Tahun lepas, kami hanya berupaya menghasilkan sebuah kereta yang biasa sahaja. Tahun ini, dengan pengalaman dan ilmu yang diperolehi dari tahun lepas, kami berupaya menghasilkan kereta robot bertemakan Domo,” ujarnya yang jelas kelihatan gembira.
Malah, peningkatan kemahirannya dalam pertandingan tersebut telah menambah keyakinan dan semangatnya untuk mencapai cita-cita menjadi jurutera elektronik suatu hari nanti.
Pendedahan
Program yang berlangsung kali kedua itu merupakan hasil kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) dengan SMKKU.
Menurut Pensyarah Jabatan Perindustrian Automasi Mekatronik dan Robotik (UniKL MFI), Rostam Salleh, pertandingan itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai asas mekatronik dan robotik serta memupuk minat mereka dalam bidang tersebut.
Katanya, para pelajar dapat mempelajari dan memahami bidang mekatronik dan robotik secara lebih mendalam melalui program seperti itu.
“Pada masa sama, ia memberi ruang kepada para pelajar untuk memilih kerjaya mereka sekiranya mereka betul-betul berminat dalam bidang robotik,” ujarnya.


Foto-foto dalam laporan akbar tersebut


Rostam yang cenderung dalam bidang tersebut menawarkan diri untuk membantu para pelajar dengan memberi nasihat dan panduan dalam proses penyiapan projek mereka.
Selain itu, beliau turut memberi ceramah dan bengkel mengenai mekatronik dan robotik sebelum pertandingan tersebut berlangsung.
“Ini bertujuan untuk memastikan mereka memahami tentang mekatronik dan robotik agar projek yang dihasilkan akan berjaya,” jelasnya.
Nilai tambah
Menurut Pengetua SMKKU, Hidayah Mokhtar, pertandingan yang diadakan khusus untuk pelajar-pelajar Kelas Rancangan Khas (KRK) merupakan satu nilai tambah kerana berpeluang untuk menghasilkan inovasi baharu.
“Di samping itu, para pelajar juga diberi peluang untuk meneroka bidang yang berkaitan dengan kejuruteraan mekatronik dan robotik,” ujarnya.
Melalui pertandingan tersebut, beliau turut berharap pelajar SMKKU akan berjaya dalam bidang reka cipta robotik dan berupaya menyertai pertandingan-pertandingan yang akan berlangsung pada peringkat daerah, negeri serta kebangsaan.
Peserta pada Hari Inovasi dan Rekacipta Asas Robotik yang dibahagikan kepada 19 kumpulan yang terdiri daripada 10 orang pelajar antara tingkatan satu hingga tingkatan lima.
Penyelaras Kelas Rancangan Khas SMKKU, Arpah Abu Chik berkata, tujuan menggabungkan pelajar dari pelbagai tingkatan adalah untuk memastikan semangat berpasukan dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar iaitu pelajar senior akan membantu dan membimbing pelajar yang baharu.
“Kami akan memberi idea kepada para pelajar dan mereka akan melaksanakan idea yang kami berikan, yang penting sekali mereka harus melaksanakan tugas tersebut bersama,” katanya.
Tambahnya, idea tersebut telah diberikan seminggu lebih awal supaya para pelajar mempunyai masa untuk mengagihkan tugasan masing-masing.
“Secara langsung, proses tersebut akan memupuk semangat berpasukan dan mewujudkan nilai murni seperti saling bantu-membantu dalam kalangan pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut,” ujar Arpah.