January 26, 2012

PERJUMPAAN IBU BAPA / PENJAGA MURID KELAS RANCANGAN KHAS 2012

Sebagai pembuka tirai aktiviti 2012, satu perjumpaan dengan ibu bapa dijalankan pada 21 Januari 2012 di dewan SMK Kajang Utama pada 8.30 pagi - 11.0 pagi.  Kehadiran pada ibu bapa sungguh menggalakkan dan perbincangan dua hala berlangsung dengan rancak sekali.
Seorang bapa sedang memberikan pendapatnya

Sebahagian dari ibu bapa yang hadir

Pada hari ini juga disampaikan sijil kecemerlangan PMR kepada murid yang telah berjaya mendapat kesemua A dalam subjek yang diambil.





Antara murid yang datang untuk menerima sijil masing-masing,
sebahagiannya telahpun mendapat tawaran ke SBP



PROGRAM TAHUNAN KELAS RANCANAGN KHAS 2012

  1. Perjumpaan ibu bapa dan guru - 21 januari 2011
  2. Kem Anak Soleh (muslim) dam Motivasi Cemerlang (bukan muslim) - Mac 2012
  3. Motivasi berkala ( 5 kali) - Mac, Mei Julai, September 2011
  4. Bengkel Penulisan BM dan BI untuk PMR dan SPM - 11 Februari 2011
  5. Easy Maths (Tingkatan 1,2,3) dan Easy Add Maths (Tingkatan 4,5) - April 2012
  6. Kembara Ilmu Emas Utama (Lawatan ke Singapura) - 28 April - 1 Mei 2012
  7. Program 'Public Speaking' - Jun 2012
  8. Program Mentor-Mentee - Sepanjang tahun

KEPUTUSAN PMR 2011

Seramai 17 orang murid dari Kelas Rancangan Khas telah berjaya mendapat kesemua A dalam PMR 2011.





Tahniah diucapkan kepada semua yang telah berjaya menjadi yang terbaik.

HARI INOVASI DAN ROBOTIK


Hari Inovasi dan Robotik telah dianjurkan pada 23 Julai 2011 dengan jayanya, program ini telah mendapat liputan akhbar Kosmo!.
keratan akhbar Kosmo!

bertungkus lumus menyiapkan robot

En Rostam Salleh menyumbangkan tenaga sebagai pembimbing program ini
Model-model yang telah berjaya disiapkan

LAPORAN AKHBAR KOSMO! DI INTERNET

Menjana minda jurutera muda

Oleh LILY YEAN
rencana@kosmo.com.my

PERALATAN elektronik dan alat-alat tulis pada mulanya bertaburan di atas lantai. Beberapa kumpulan pelajar tekun menyiapkan tugasan mereka dalam tempoh masa beberapa jam yang diberikan.
Ada yang tersenyum dan ada pula yang mengerutkan muka. Masing-masing berusaha dan berharap untuk mencapai kemenangan yang diidamkan dalam projek tersebut.
Begitulah keadaan di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama, Selangor (SMKKU) yang dipenuhi seramai 189 orang pelajar hujung Julai lalu.
Semuanya berusaha menunjukkan bakat dalam reka cipta robotik sempena Hari Inovasi dan Rekacipta Asas Robotik untuk menarik perhatian guru-guru dan para juri yang bakal menilai hasil mereka.
Walaupun ada dalam kalangan mereka yang terbantut dalam proses penyiapan projek itu, namun keriangan dapat dilihat di raut wajah mereka.
Menurut wakil kumpulan pemenang pertama tahun lalu, Sheikh Amir Usman Seikh Salim, 16, dia sanggup mengetepikan masa senggang untuk bersama keluarga demi menyertai pertandingan tersebut.
“Saya memang minat dalam bidang mekatronik dan robotik. Ibu bapa saya memberi kebebasan dan sokongan penuh dalam bidang yang saya minati selama ini.
“Oleh sebab itu, saya perlu mencuba sedaya-upaya untuk mencapai keputusan yang terbaik untuk membuktikan minat saya ini,” katanya dengan semangat berkobar-kobar.
Begitu juga dengan wakil kumpulan pemenang kedua tahun lalu, Wan Muhammad Imran Mohammad Kahiri, 15, yang berharap dengan sokongan ibu bapanya, dia mampu melangkah lebih jauh.
Dalam pertandingan tersebut, dia yang meminati permainan kereta Tamiya mendapat idea melalui permainan kesayangannya dan yakin akan menang dalam pertandingan tersebut.
Lain pula cerita Fatimah Bazilah Nazari, 15, yang menyertai pertandingan tersebut untuk kepuasan diri.
Kata wakil kumpulan pemenang ketiga tahun lalu itu, sama ada menang atau kalah, perasaan akan cukup puas setiap kali melihat hasil reka cipta berjaya disiapkan untuk bertanding.
Selain itu, dia turut mengakui banyak ilmu dapat dipelajari dari pertandingan tersebut.
“Tahun lepas, kami hanya berupaya menghasilkan sebuah kereta yang biasa sahaja. Tahun ini, dengan pengalaman dan ilmu yang diperolehi dari tahun lepas, kami berupaya menghasilkan kereta robot bertemakan Domo,” ujarnya yang jelas kelihatan gembira.
Malah, peningkatan kemahirannya dalam pertandingan tersebut telah menambah keyakinan dan semangatnya untuk mencapai cita-cita menjadi jurutera elektronik suatu hari nanti.
Pendedahan
Program yang berlangsung kali kedua itu merupakan hasil kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) dengan SMKKU.
Menurut Pensyarah Jabatan Perindustrian Automasi Mekatronik dan Robotik (UniKL MFI), Rostam Salleh, pertandingan itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai asas mekatronik dan robotik serta memupuk minat mereka dalam bidang tersebut.
Katanya, para pelajar dapat mempelajari dan memahami bidang mekatronik dan robotik secara lebih mendalam melalui program seperti itu.
“Pada masa sama, ia memberi ruang kepada para pelajar untuk memilih kerjaya mereka sekiranya mereka betul-betul berminat dalam bidang robotik,” ujarnya.


Foto-foto dalam laporan akbar tersebut